Tuesday, April 3, 2007

Nutriblok makanan tambahan pembuka selera ternakan

PUSAT Penyelidikan Ternakan (PPT) MARDI, berjaya menghasilkan sejenis bahan makanan tambahan khusus untuk binatang ternakan dikenali 'Nutriblok'. Nutriblok mampu membantu tumbesaran binatang ternakan di samping mengatasi masalah kecacingan pada binatang.

Ia berbentuk bongkah atau blok dan dihasilkan untuk ternakan ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri dan kerbau.Pegawai Penyelidik Kanan, PPT MARDI, Dr. Wan Zahari Mohamed berkata, beliau menjalankan kajian bagi menghasilkan Nutriblok sejak tahun 1990.

Menurutnya, kajian lanjutan dijalankan secara berperingkat dengan kerjasama Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh, Institut Penyelidikan Getah Malaysia dan Pusat Penyelidikan Antarabangsa bagi Sains Pertanian Jepun serta pusat bagi Penyelidikan Pertanian Antarabangsa, Australia.Katanya, teknologi pemprosesan Nutriblok melibatkan percampuran beberapa jenis bahan makanan terpilih bagi memenuhi keperluan tubuh ternakan.

Beliau berkata, faktor formulasi pemprosesan itu penting supaya ternakan lebih berselera dan dapat membesar dengan cepat."Nutriblok adalah penambah makanan dan dengan itu makanan asas seperti rumput atau jerami padi perlu diberi kepada ternakan seperti biasa,'' katanya kepada Utusan.Katanya, lebih 250 formulasi telah diselidik di Mardi dan formulasi yang sesuai diuji kesannya di ladang ternakan dan kawasan penternak.

Menurutnya, pada masa kini dua jenis Nutriblok dikeluarkan iaitu Nutriblok biasa dan Nutriblok berubat."Nutriblok biasa membekalkan zat tambahan seperti protein, tenaga, mineral dan vitamin kepada ternakan manakala Nutriblok berubat sesuai untuk mengatasi masalah cacing terutama pada biri-biri,'' katanya.

Katanya, ubat cacing yang digunakan itu diimport dari Australia, India dan Taiwan. Dr. Wan Zahari berkata, penggunaan ubat cacing di dalam Nutriblok tidak memudaratkan manusia apabila memakan daging ternakan itu.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, "penternak hanya perlu memberi satu kali suntikan ubat cacing kepada biri-biri sebelum Nutriblok digunakan". Ini sangat penting untuk membunuh larva atau anak cacing. Kehidupan larva seterusnya akan dikawal oleh Nutriblok.

"Cara itu lebih menjimatkan kerana mengikut cara biasa bagi mengatasi masalah cacing pada ternakan, penternak perlu menyuntik ternakan sekali setiap dua bulan dengan harga RM1 sekali suntikan,'' katanya. Menurutnya, beliau pernah menjalankan kajian pemakanan ternakan di Kelantan dan Kedah dan seorang penternak biri-biri di Kampung Kandis, Bachok berpuas hati selepas menggunakan Nutriblok.

Sebelum ini, katanya, penternak terlibat tidak mendapat hasil daripada ternakannya selama tiga tahun kerana masalah cacing. "Hampir semua anak biri-birinya mati semasa lahir walaupun rumput yang diberi kepada induk cukup baik.

"Apabila diberi makan Nutriblok, kematian anak biri-biri tidak lagi berlaku,'' katanya.

Dr Wan Zahari menjelaskan, hampir 90 peratus bahan yang digunakan untuk membuat Nutriblok adalah bahan tempatan terutama bahan sampingan pertanian seperti hampas isirung kelapa sawit, dedak padi, hampas sagu, hampas kelapa dan lain-lain. Menurutnya, bahan-bahan itu dicampurkan dengan gula molas dan urea serta dikisar dalam mesin.

Katanya, bahan-bahan itu kemudian dijemur pada panas matahari selama beberapa jam dan akan menjadi keras dengan sendiri. Beliau berkata, gula molas membekalkan tenaga dan boleh didapati dari kilang memproses tebu manakala urea pula membekalkan protein.

"Urea kerap digunakan oleh petani untuk membaja tanaman padi tetapi jumlah yang digunakan untuk membuat Nutriblok dihadkan bagi mengelakkan keracunan,'' katanya. Selain itu katanya, hampas ikan dan daun petai belalang boleh digunakan untuk menggantikan urea dan ia sangat digemari ternakan serta mudah ditanam.

Dr. Wan Zahari berkata, Nutriblok boleh diberi terus kepada ternakan dan adalah lebih baik, ia diletakkan ke dalam bekas untuk memudahkan ternakan menjilat atau mengunyahnya perlahan-lahan. Katanya, bagi menjamin kadar pertumbuhan yang baik, biri-biri atau kambing perlu makan antara 60 hingga 100 gram sehari manakala lembu dan kerbau, antara 600 hingga 800 gram sehari tetapi jumlah itu bergantung pada berat badan ternakan.

"Nutriblok tahan lama jika disimpan di tempat kering. Ia boleh tahan antara enam bulan hingga dua tahun, bergantung kepada tempat,'' katanya.

Katanya, Mardi telah melesenkan teknologi pemprosesan Nutriblok kepada Hamata Technology Sdn Bhd.
Menurutnya, pada masa kini Mardi menerima sambutan amat menggalakkan dan tempahan boleh dibuat terus kepada syarikat berkenaan menerusi talian 03-7164961 atau faks 03-7164967.

Dr. Wan Zahari berkata, Nutriblok biasa dijual pada harga RM9.00 untuk satu blok yang beratnya 4 kilogram, manakala yang berubat berharga RM10.00. Mengenai rancangan masa depan, Dr. Wan Zahari berkata, beliau akan mempelbagaikan produk daripada Nutriblok dan berminat untuk mengatasi masalah cacing tanpa menggunakan ubat cacing.

"Pilihan terbaik pada masa kini ialah menggunakan sejenis kulat yang boleh memerangkap anak cacing. "Kaedah biologi itu sedang dikaji secara usaha sama dengan penyelidik di Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh,'' katanya.

Daging sihat, Badan kuat!
http//:merlongboerfarm.blogspot.com
Great Goat Rearing Resources Click Here!

No comments: