Friday, December 21, 2007

Manfaat haiwan korban

Oleh ABDUL RAHIM ANUAR

AIDILFITRI dikaitkan dengan zakat fitrah. Aidiladha pula dikaitkan dengan korban. Masing-masing mempunyai keunikannya yang tersendiri. Rakyat Islam di Malaysia yang seramai 17 juta orang akan menyambut Aidiladha pada 20 Disember atau 10 Zulhijah ini.

Amalan korban dilakukan selepas solat Aidiladha dan pada hari Tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijah kerana beribadah kepada Allah s.w.t. dan sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Binatang yang dikorbankan ialah unta, lembu, kerbau, kambing atau bebiri. Semua binatang itu boleh dikategorikan sebagai ternakan ruminan.


Selain amalan mulia dan dituntut dalam Islam, penyembelihan binatang korban itu mempunyai implikasi dasar ekonomi yang penting kepada negara khususnya dalam industri ruminan. Kepentingan industri ruminan dan sumbangannya dalam pembangunan sosial dan ekonomi adalah juga jelas dengan syariat membayar zakat ternakan.

Baru-baru ini, sekadar contoh, sebanyak 1,000 ekor lembu import dari Thailand dibawa masuk ke Kedah bagi menampung keperluan permintaan yang dijangka meningkat menjelang sambutan Aidiladha. Ini mencerminkan kadar sara diri hasil ternakan negara masih rendah.

Untuk daging lembu (termasuk kerbau) kadar sara dirinya ialah kira-kira 25 peratus pada masa ini. Begitu juga bagi daging kambing, kadar sara dirinya adalah jauh lebih rendah daripada daging lembu iaitu kira-kira 10 peratus.

Kadar sara diri yang rendah dalam industri ruminan telah mengakibatkan kita mengimport produk susu hampir kesemuanya dari luar negara. Kadar sara diri bagi susu ialah kira-kira lima peratus sahaja.


Berbanding dengan ternakan unggas, kadar sara diri bagi daging ayam dan itik adalah lebih daripada mencukupi iaitu 125 peratus pada masa ini. Bagaimanapun, ternakan unggas tidak termasuk dalam senarai binatang korban dan zakat ternakan.

Haiwan ternakan yang diwajibkan zakat adalah kambing, bebiri, lembu, kerbau dan unta.

Berdasarkan statistik 2006 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, bagi industri ruminan terdapat kira-kira 794,510 ekor lembu, 190,876 ekor kerbau, 285,860 ekor kambing dan 112,443 ekor bebiri. Untuk industri unggas pula, terdapat kira-kira 192,525,321 ekor ayam dan 9,361,108 ekor itik.

Kadar sara diri yang rendah dalam industri ruminan menjadikan Malaysia sebagai pengimport bersih bagi ternakan hidup dan produk dagingnya. Dalam erti kata lain, kita banyak mengimport daripada mengeksport.


Bil import ternakan ruminan adalah tinggi. Sekadar contoh pada 2003 (data terkini), bil import lembu hidup untuk penyembelihan ialah kira-kira RM91 juta (bersamaan 59,041 ekor lembu) manakala untuk produk daging lembu ialah kira-kira RM384 juta (atau 85,277 tanmetrik ).

Aliran keluar wang seperti ini boleh dibendung jika terdapat industri ruminan yang berskala ladang dan tersusun hala tuju pembangunannya.

Senario ini lebih kritikal apabila dikaitkan dengan amalan korban dan akikah. Permintaan yang tinggi ke atas ternakan ruminan untuk korban dan akikah berbanding dengan bekalannya boleh meningkatkan harga ternakan itu.

Ini sudah pasti akan menjejaskan kemampuan individu Islam yang ingin menyahut dan memakmurkan seruan korban dan akikah. Lebih-lebih lagi fadilat korban itu besar bagi tuannya dengan setiap bulu ternakan yang dikorbankan itu adalah kebajikan.


Jaminan


Situasi ketidakcukupan makanan dalam daging ruminan tidak sepatutnya berlaku kerana Islam mementingkan jaringan jaminan makanan sebagai mana zakat sebagai jaringan jaminan sosial.

Ironisnya pengekport utama dunia daging ruminan ialah di kalangan negara bukan Islam seperti Brazil, Australia, India, Argentina dan New Zealand. Lebih malang lagi, pengimport daging ruminan pula kebanyakan di kalangan negara Islam, termasuk Malaysia.


Bagaimanapun, kerajaan menyedari kelemahan dalam industri ternakan ruminan dan telah mengambil langkah tertentu untuk membangunkannya dengan matlamat meningkatkan pengeluaran daging negara dan mengurangkan defisit imbangan dagangannya.

Pembangunan koridor ekonomi khususnya Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyediakan landasan dan nafas baru pada aktiviti penternakan ruminan negara. Malah, penternakan haiwan adalah antara inisiatif spesifik sub-sektor yang difokus oleh NCER.


Selama ini aktiviti penternakan ruminan dilakukan oleh pekebun kecil. Untuk meningkatkan daya saing industri daging tempatan, penternak digalakkan untuk mengamalkan kaedah fidlot. Penternakan haiwan dilakukan secara berkelompok untuk mencapai bidangan ekonomi bagi membolehkan pelaksanaan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran secara komersial.

Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas (Negeri Sembilan) akan menjadi salah satu sumber haiwan ternakan bagi program fidlot lembu dan kambing di NCER. Di Kedah, ladang fidlot lembu dan kambing ialah di Kubang Pasu, Sik, Yan dan Baling. Di Perak pula ialah di Selama dan Hulu Perak.

Kelompok dan pembangunan pemprosesan halal untuk pasaran eksport adalah di Sungai Petani (Kedah), Tasik Glugor (Pulau Pinang) dan Padang Besar (Perlis).


Usaha untuk memajukan industri ternakan ruminan negara wajar juga dilihat dari sudut glokal iaitu kepentingannya kepada umat Islam seluruh dunia. Apabila hasil pengeluaran ternakan ruminan melebihi daripada sasaran kadar sara diri, maka ia boleh dieksport ke negara Islam lain yang mempunyai kekurangan pengeluaran daging ruminan.

Menerusi perdagangan antarabangsa, semangat ikhwan antara negara Islam dapat diperkukuhkan. Jika berlaku bencana alam di sesebuah negara Islam, maka ia tidak perlu meminta bantuan daripada negara bukan Islam. Ini secara tak langsung mengikis sindrom pergantungan kepada negara Barat rentetan daripada jaringan jaminan makanan yang dibawa oleh falsafah korban.

* Prof. Madya Abdul Rahim Anuar ialah pensyarah di Fakulti Ekonomi, Universiti Utara Malaysia.

*Artikel in di petik dari Utusan 22 Disember 2007

12 Zulhijjah 1428

Tuesday, December 11, 2007

Gambar lagi.